Friday, October 14, 2016

KAEDAH PENCEGAHAN KEHAMILAN UNTUK MERANCANG KELUARGA

Apa itu Implanon???
Alat pencegah kehamilan..

"Implanon adalah alat kontrasepsi berbentuk rod kecil yang dipasang hanya di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas.

Ia boleh menghalang kehamilan sehingga tiga tahun dan tidak memerlukan sebarang tindakan harian,” kata Dr. Hamizah Mohd. Hassan dari Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurutnya lagi, implanon adalah kaedah halangan yang sangat berkesan dengan kurang daripada satu peratus kegagalan dilaporkan. Kebanyakan kegagalan yang berlaku adalah disebabkan kedudukan implanon yang tidak tepat. Wanita yang memakai implanon akan subur semula selepas tiga minggu alat tersebut dibuka malah implanon juga tidak mengganggu hubungan seks seperti sesetengah kontrasepsi.

Setiap rod implanon mengandungi etonogestrel. Ia bertindak melepaskan hormon progestin pada paras yang tetap sepanjang hayatnya.

“Implanon sesuai untuk ibu-ibu yang sedang menyusukan bayi mereka,” jelasnya.

Kata Dr. Hamizah, implanon juga bertindak dengan cara memekatkan mukus serviks yang mana dengan sendirinya menghalang kemasukan sperma ke dalam tiub fallopian. Dengan ini, gangguan berlaku di bahagian endometrium sekretori yang mana ia menjadi nipis dan tidak membenarkan ovulasi berlaku.

Mungkin kedengaran agak menakutkan apabila rod implanon perlu dimasukkan di bawah lapisan kulit menggunakan trokar, namun menurut Dr. Hamizah, kaedah ini paling sesuai memandangkan ia kekal sepanjang pemakaian dan tidak memerlukan penjagaan yang melecehkan.

“Kalau dengan cara pil misalnya wanita tersebut mungkin akan terlupa,” katanya.

Namun begitu pemakaian implanon juga mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kesan pendarahan atau haid yang tidak dijangka. Menjawab pertanyaan, Dr. Hamizah berkata, ada ketikanya berlaku kesan pendarahan tidak dijangka ketika penggunaan atau selepas tiga hingga empat bulan penggunaan.

Katanya, 50 peratus pemakai mungkin tidak mengalami haid atau mengalami sedikit sekali-sekala, 40 peratus mendapat pusingan haid yang normal manakala 10 peratus mengalami pendarahan banyak dan membebankan. Jika perkara ini berlaku, doktor akan menasihatkan supaya implanon ditanggalkan.

Implanon juga boleh menyebabkan komplikasi jangkitan setempat sebanyak satu peratus. Kesan-kesan yang biasa adalah berlaku lebam di sekitar kawasan kemasukan. Ada juga komplikasi berlaku ketika implanon ingin ditanggalkan terutama jika rod melebihi sebatang.

Masalah-masalah yang biasa dialami ketika menggunakan kontrasepsi lain seperti pening kepala, jerawat dan pertambahan mungkin juga boleh berlaku kepada pemakai implanon. Namun sehingga kini belum ada pengesahan sama ada implanon boleh mengubah risiko seseorang wanita terhadap kanser payu dara.

Siapa yang boleh menggunakan implanon?
Wanita yang mahukan kaedah yang mudah, berkesan, mudah dipasang dan ditanggal, mudah kembali untuk subur, kekal di tempat di mana ia dipasang, tidak perlu melakukan sesuatu terhadap kontrasepsi yang dipakai, tidak memakai sebarang kontrasepsi lain dan alah kepada estrogen sintetik.

Siapa yang tidak boleh menggunakan implanon?
Wanita yang mempunyai tumor thromboembolic disorder progestogen dependent (sama ada sudah mengetahuinya atau disyaki), mempunyai sejarah lalu atau semasa penyakit hepatik yang teruk seperti fungsi hati tidak kembali kepada normal, tumor hati benign atau malignant, carcinoma di dada, sedang hamil atau mengalami pendarahan vagina.

Fakta mengenai implanon:
berbentuk rod sepanjang 4 sm x 2 mm, mengandungi 68 miligram gonane progestin etonogestrel.
implanon boleh dikeluarkan pada bila-bila masa namun penggunaannya perlu dihadkan sehingga tiga tahun sahaja.
mula sekali diperkenalkan di Indonesia pada 1998, kemudian diluluskan penggunaannya di 30 negara lain dan kini telah dipakai oleh lebih 2.5 juta wanita seluruh dunia.
Cara pemakaian


credit to mama zharfan
Anestetik disuntik pada bahagian lengan atas dan kemudian alat trokar seperti jarum digunakan untuk memasukkan rod implanon di bawah lapisan kulit. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit. Hanya doktor berpengalaman dibenarkan melakukan prosedur ini bagi mengurangkan risiko kerosakan saraf atau diletakkan di tempat yang tidak betul yang akhirnya menyebabkan kehamilan yang tidak diingini. Hanya 3.6 peratus pemakai implanon pernah mengalami komplikasi setempat termasuk bengkak, kemerahan, hematoma dan kesakitan.

Mengapa perlu perancang keluarga? Hukum??...
Kata Dr. Hamizah, kaedah perancangan keluarga adalah untuk menjarakkan kehamilan atau mengehadkan bilangan anak sama ada secara sementara atau kekal.

“Perlu diingat bahawa kaedah perancangan keluarga bukan bererti tidak mahu anak,” katanya. Menurut Dr. Hamizah, seseorang yang mengamalkan perancangan keluarga adalah bersebab seperti menghidap kanser yang memerlukan rawatan, hamil berisiko, kahwin ketika usia terlalu muda atau usia lewat atau memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat.

Jelasnya lagi, fatwa daripada Majlis Fatwa pada 1981 menetapkan bahawa kontrasepsi untuk mengurangkan bilangan anak adalah haram kecuali atas sebab-sebab yang mengharuskannya dan perlulah dilakukan dengan cara tidak kekal atau tidak memandulkan.

“Keadaan yang diharuskan adalah isteri terlalu lemah atau sakit, pasangan ada penyakit keturunan, isteri mengandung terlalu kerap atau masih menyusu bayi dan kandungan menyebabkan gangguan mental terhadap ibu.

“Merancang keluarga adalah bersifat sementara, menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga adalah harus,” katanya menjelaskan mengenai fatwa tersebut.

Nasihat doktor kepada mereka yang ingin merancang keluarga?
Dapatkan rundingan daripada pakar mengenai kaedah yang bersesuaian. Jangan dengar cadangan orang lain selain doktor kerana tidak semua kaedah sesuai dengan semua orang.

No comments:

Post a Comment