selamat pengantin baru kepada yang bakal berkahwin bulan jun nie...
entri nie aku nak cite pasal perkahwinan menurut islam....
sumber iluvislam.com 
Firman Allah yang bermaksud."Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan  rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada  jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya,  dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan  belas kasihan." (Surah al-Rum, ayat 21).Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin  dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir  rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga.
Dalam hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan  tersusun selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui  perkahwinan itu.
Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan  kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak  (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka  miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah  Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 32)
Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan  persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha  menahan hawa nafsu dengan sebaiknya.
Panduan itu diberikan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Wahai  orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah  dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan  kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa  kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap  berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan. Rasulullah SAW  pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di akhirat dengan bilangan  umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan  umatnya.
Sabda Baginda SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami  supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau  tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang  subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai  pada hari kiamat kelak." (Riwayat Ahmad)
Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa apa  yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai, berkualiti,  mempunyai jati diri Muslim sebenar.
Apakah yang dikatakan perkahwinan itu? Dr Wahbah al-Zuhayli dalam  kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan definisi perkahwinan atau  al-nikah sebagai 'satu akad yang menghalalkan pergaulan di antara  seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan muhrim, menimbulkan hak  dan kewajipan antara kedua-dua mereka.'
Menerusi definisi ini, beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:
# Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan  yang saling menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam  Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang  digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan. Justeru, perkahwinan  mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi  peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang prkahwinan  berlangsung.
# Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh  berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu,  Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling  mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik, anak saudara dengan bapa  saudara dan sebagainya. Termasuklah hubungan muhrim yang terbina dari  pertalian darah, susuan dan persemendaan.
# Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan,  barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan  pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan  dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang  lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk  tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar,  perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal  maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap  pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen keagamaan dan ketundukan  kepada Allah di dalam perkahwinan.
# Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa  pasangan yang belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau  bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka.  Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas  bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan  kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah.  Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat  dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai,  maka hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai  peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana itu, melakukan  hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin adalah perkara bukan  mengaibkan atau pelik dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan  kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.
# Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni  antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah  tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah  perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan  perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku di mana lelaki boleh  berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana  perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara  dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan  Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan  Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat  pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki  menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.
# Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan  saja menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan. Maka  silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan lebih berseri.




No comments:
Post a Comment