Wednesday, September 6, 2017

Aduh..Tolonggg Doktor, Sakitnya!! Rintihan Pemuda Selepas Makan Jering Mentah

Kes ini berlaku ketika saya baru melaporkan diri ke hospital daerah. Ketika itu saya sedang bertugas on-call di Jabatan Kecemasan. Jam menunjukkan pukul 3 pagi, apabila seorang lelaki disorong masuk menggunakan kerusi roda.

"Aduh...doktor, tolong..sakitnya.." rintih pemuda tersebut sambil memegang perutnya.


Apabila diangkat ke stretcher, beliau baring dalam keadaan mengerekot. Beliau dalam kesakitan yang sangat.

Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat segera mendapatkan lelaki berkenaan, memasang jarum branulla di tangannya. Manakala saya, segera bertanyakan apa yang terjadi.

"Senak perut, doktor. Tiba-tiba sahaja sejak pukul 12 malam tadi. Rasa nak kencing, tapi tak boleh kencing!"

Sebaik sahaja lelaki tersebut bercakap, saya segera mengesyaki sesuati. Bau yang terbit dari mulutnya, adalah sejenis bau yang cukup hancing dan tajam.

Saya segera memulakan pemeriksaan. Apabila saya memeriksa bahagian pundi kencing beliau, ianya tidaklah terlalu cekang atau besar. Saya meminta Penolong Pegawai Perubatan untuk memasukkan tiub kencing, sedang saya meneruskan pemeriksaan.

Sebaik sahaja tiub kencing dimasukkan, air kencing bercampur darah keluar. Namun jumlahnya sedikit sahaja. Lelaki tersebut masih dalam kesakitan, lalu saya meminta agar ubat penahan sakit, IV Tramadol segera diberikan. Dalam tempoh beberapa minit, kesakitan lelaki tersebut pun berkurangan.

Sampel darah diambil, dan lelaki tersebut diletakkan di ruang pemerhatian. Saya meneruskan proses mendapatkan sejarah pesakit dengan bertanya kepadanya.

“Encik, ada makan apa-apa pada malam tadi?”

“Ya, doktor. Saya makan nasi bersama keluarga seperti biasa.”

“Ada makanan yang dibeli dari luar? Atau ulam-ulaman?” saya bertanya lagi.

“Makanan berlauk, tak ada pula. Cuma petang tadi memang saya ada ke pasar malam, membeli jering rebus untuk dijadikan ulam.” Ujar beliau.

Jawapan beliau membuatkan hati saya terdetak. Sangkaan saya tepat, rupanya. Namun saya mahu tunggu keputusan ujian darah terlebih dahulu.

Rawatan drip intravena segera diberikan. Lelaki tersebut tidak lagi dalam kesakitan, namun air kencingnya masih bercampur darah. Ultrasound buah pinggang dibuat, menunjukkan tiada batu karang meskipun kedua-dua buah pinggangnya sedikit bengkak.

Hampir setengah jam kemudian, keputusan ujian darah sudah siap. Seperti yang dijangka, fungsi buah pinggangnya merosot secara mendadak. Bacaan creatinine nya mencecah 400, sedangkan paras normal bagi orang sihat biasanya tidak melebihi 100.

“Encik, penyakit encik ini namanya Jering Nephropathy. Maksudnya, kegagalan buah pinggang yang disebabkan oleh pengambilan jering.”

Bundar mata lelaki tersebut tatkala saya memaklumkan kepadanya penyakit yang beliau hidapi.

“Dalam buah jering, ada sejenis bahan yang dinamakan djenkolic acid. Bahan ini, bersifat toksik kepada buah pinggang manusia. Adakalanya pesakit yang memakan jering terlalu banyak, terutamanya jering yang tidak direbus betul, akan mendapat masalah ini.”

Saya meneruskan penerangan. Beliau mengangguk, tanda faham.
“Sekarang, fungsi buah pinggang encik agak terjejas. Kita akan mulakan rawatan awal, iaitu IV Drip bagi memastikan buahpinggang encik terus berfungsi dan saki baki Djenkolic Acid dalam darah encik dapat keluar melalui air kencing.

“Namun, kita akan terus pantau keadaan encik didalam wad. Sekiranya dengan rawatan yang kita berikan ini pun fungsi buah pinggang encik tidak bertambah baik, atau bertambah lebih buruk, encik mungkin terpaksa dirujuk ke hospital besar. Kita khuatir encik mungkin memerlukan prosedur pembedahan atau dialisis untuk menyelamatkan fungsi buah pinggang.”

Penjelasan panjang lebar saya membuatkan pesakit tersebut termenung. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, lelaki tersebut bersetuju dimasukkan ke wad untuk tujuan rawatan dan pemantauan.
Ini adalah kali keempat saya menjumpai kes Jering Nephropathy. Tiga kali sebelumnya, adalah ketika saya menjalani latihan siswazah di hospital besar.

Kes jering nephropathy, atau djenkolism, tidak banyak terdapat didalam buku-buku teks perubatan. Ini kerana kejadian ini jarang berlaku (low incidence), dan hanya berlaku di kawasan Asia Tenggara. Agaknya disebabkan adat dan budaya penduduk kita yang biasa menjadikan jering sebagai makanan ulaman.

Namun, penyakit jering nephropathy ini, selain menyebabkan kesakitan yang teruk ia juga boleh membahayakan nyawa. Menurut sebuah literature review oleh Bunawan et al (2014), daripada 96 kes Jering Nephropathy yang dilaporkan oleh jurnal-jurnal perubatan, empat daripadanya meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang.

Majoriti pesakit akan sembuh dengan rawatan hidrasi IV Drip, namun terdapat kes yang mana memerlukan rawatan pembedahan. Dalam sebuah laporan kes oleh Wong JS et al (2007) di Hospital Umum Sarawak, pesakit terpaksa melalui sebuah prosedur “stenting” ke kedua-dua buah pinggangnya.

Apabila “stent” dimasukkan, didapati terdapat bahan berupa jeli berwarna seperti sos menyumbat salur ureter pesakit. Hanya setelah stent dimasukkan, barulah pesakit dapat kencing semula dan fungsi buah pinggang pesakit bertambah pulih.

Sebenarnya sebelum kes Jering Nephropathy dilaporkan didalam jurnal-jurnal perubatan, orang-orang tua kita sudah lama mengenalpasti penyakit ini yang disebut sebagai “terkepit jering”. Ini kerana berdasarkan pemerhatian mereka, terdapat individu yang sakit bagaikan dikepit setelah memakan jering.

Dari situlah lahirnya petua orang tua-tua, bahawa jering perlu direbus sehingga berjam-jam lamanya sebelum dimakan. Ada yang menasihatkan untuk direbus dengan pelbagai bahan seperti daun kunyit, akar pokok kelapa, bahkan abu dapur, paku dan rantai basikal!

Keberkesanan dan keselamatan bahan-bahan yang dicampurkan ini agak sedikit meragukan, namun kita memahami rasionalnya adalah untuk menyahneutralkan djenkolic acid yang terdapat dalam biji jering tersebut.

Apapun, nasihat dan saranan saya kepada mereka yang gemar memakan jering,

1. Elakkan dari memilih jering yang tua, kerana jering yang tua berkemungkinan mengandungi kepekatan djenkolic acid yang lebih tinggi.

2. Elakkan dari memakan jering yang mentah.

3. Elakkan memakan jering dalam kuantiti yang besar.

4. Pesakit yang mengalami masalah buah pinggang kronik, tidak dibenarkan memakan jering.

5. Banyakkan meminum air setelah memakan jering.

6. Jika berlaku sakit perut atau kencing berdarah, dapatkan rawatan di hospital segera.



“Ha, encik, apa khabar hari ini?

Saya menyapa lelaki berkenaan yang sedang berehat. Hari tersebut adalah hari keempat beliau di wad. Alhamdulillah, paras creatinine beliau sudah turun ke normal, menandakan buah pinggang beliau telah bertambah baik. Beliau juga sudah tidak perlu memakai beg kencing dan air kencingnya juga sudah tidak bercampur darah.

“Alhamdulillah, bertambah baik! Terima kasih banyak-banyak, doktor.” jawab beliau kesengihan.

“Nak makan lagi jering lepas ni, encik?” saya cuba bergurau. Beliau tertawa sambil berkata,

“Eh mestilah doktor, kalau dah minat, ulam jering cicah cabai tak boleh tinggal!”

Lantas kami sama-sama ketawa.

Dr. Mohd Syamirulah Rahim,
Pegawai Perubatan
http://facebook.com/dr.syamirul

Artikel ini diterbitkan di Majalah iSihat Ogos 2017.
Sumber gambar dari Google.

No comments:

Post a Comment